1. Berasal dari perkataan yunani, demokrasi membawa maksud ‘diperintah oleh rakyat’. Dalam demokrasi ada tiga elemen utama yang menentukan sama ada sudah atau belum masyarakat mengamalkan demokrasi penuh. Selagi ketiga-tiga perkara ini tidak berlaku dalam proses, pembentukan demokrasi masih belum sempurna. Mahasiswa dan rakyat harus faham.
2. Perkara pertama adalah pilihanraya, pemilihan pemimpin dari kalangan suara rakyat dan mesti ada pertandingan dari dua pihak berbeza ideologi sekurang-kurangnya (kerajaan dan pembangkang). ‘Touchpoint’ yang penting dan harus diketahui dalam elemen pilihanraya ini adalah rakyat, hak asasi manusia dan juga tanggungjawab sivik.
3. Kedua, debat. Debat haruslah praktikal dalam proses demokrasi. Penguraian kepada proses ini adalah berkaitan dengan kebebasan bersuara dalam apa jua bentuk terutama media, dan pembenaran dalam proses menyuarakan pendapat, bertanya soalan, memberi jawapan, berlaku perbincangan dan mencapai solusi berpihak.
4. Ketiga, demonstrasi. Apabila berlaku ketidakpuasan hati dan sesuatu yang bercanggah dari pengaliran proses dalam demokrasi, demonstrasi memain peranan penting. Himpunan bukan demonstrasi. Demonstrasi bila dialih bahasa paling mudah kita faham dengan tunjuk perasaan. Himpunan bukan demonstrasi. Perlu faham, tidak wujud ketelusan dalam proses. Oleh sebab demikian wujud elemen demonstrasi dalam demokrasi.
5. Perkara utama perbincangan adalah mengenai kes ‘LISTEN’ yang baru-baru ini terjadi dalam Forum Suara Mahasiswa “Seiringkah Mahasiswa dengan Politik”. Yang mana kita sebagai mahasiswa kebanyakannya tidak boleh menerima keadaan atau situasi kritikal mahasiswa di pentas akademik.
6. Kita boleh klasifikasikan dalam situasi tersebut, yang mana apa yang berlaku adalah satu ‘rejim mental’. ‘Rejim mental’ telah dikenakan atas mahasiswa yang sepatutnya diberi peluang untuk berkembang dan menilai ilmu, menerima input dari pelbagai sudut ilmu. Kenapa ‘rejim mental’? Sharifah Zohra Jabeen, hanya dalam proses ‘rejim mental’ sahaja kita mendoktrin dengan tidak membenar subjek berfikir dan bersuara, hanya terima.
7. Saudari Bawani, mahasiswi UUM yang bersuara bagi pihak pemahaman beliau tentang politik semasa dalam bentuk fakta walaupun samar-samar. Mungkin bukan niat juga untuk menjadi biadap atau tidak menghormati majlis walaupun jelas dalam video beliau beremosi. Emosi itu biasa bagi fitrah perempuan terutamanya. Difahamkan, saudari Bawani bertanya diluar waktu ‘Q and A’. Namun demikian kita tahu beliau telah diberi kebenaran untuk bersuara.
8. Emosi, tidak boleh dijadikan kayu pengukur bagi penakulan politik. Isu ini adalah isu antara individu yang mendukung ideologi, bukan berkaitan dengan politik secara terus. Seperti yang kita ketahui, kedua-dua mereka tidak mewakili mana-mana pihak secara terus iaitu tidak berdiri diatas tiket parti. Tapi, kita juga tahu isu ini telah pun dimainkan oleh media-media dan secara keras menuding ke arah parti. Ini emosi.
9. Dalam menganalisis terhadap pemahaman isu ini, kita boleh anggap hal ini sama situasinya seperti DS Anwar Ibrahim yang secara keras men’diam’kan kumpulan Media Prima dan RTM semasa sidang media. Juga sama situasinya dengan mana-mana pimpinan ahli politik yang ‘block’ rakyat dari bersuara di media sosial, vice versa. Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya, jika tidak, ia zalim.
10. Sharifah Zohra Jabeen, penganjur jelas menunujukkan bahawa beliau tidak dapat menerima cara penyampaian ‘biadap’ saudari Bawani di pentas beliau selepas waktu ‘Q and A’ habis yang pada kita adalah pentas bersama, pentas akademik. Manakala saudari Bawani dengan emosi, bersuara lantang di rasakan ‘biadap’ melontarkan fakta samar-samar namun boleh kita bagi sedikit kredit kerana telah cuba untuk kehadapan secara ilmiah. Namun demikian, kita tidak mendapat jawapan yang ilmiah. Kita dapat jawapan yang tidak intelek dan penuh emosi sama seperti yang bertanya soalan. Jawapan ada, tetapi tidak dijawab secara fakta, ilmiah dan tegas selepas hilang pertimbangan emosi atas sikap. Biasa, manusia tidak ada yang sempurna.
11. Yang penting, isu ini harus diperhalus sebelum kita semua meletak hukum. Juga perlu kita dengar pendapat dari pelbagai sudut untuk penakulan. Permasalahan utama adalah pemahaman tentang demokrasi, dan juga permasalahan adab yang perlu kita nilai dari ‘pendidikan’ dan juga sistem kenapa ini berlaku.
12. Akhirnya, kembali di atas pentas ilmiah tidak sepatutnya berlaku hal sedemikian, namun kesilapan berada dimana-mana. Kita boleh untuk tidak setuju, tapi kita tidak boleh menghalang. “Tiada kerajaan yang bebas dari kehendak rakyat,” Karl Marx. Mahasiswa, praktikaliti atau emosi?
Biodata Kolumnis : Marwan Kahar,Mahasiswa Tahun Keempat Universiti Malaya.Mantan Pengerusi Sekretariat Presiden-Presiden Kolej Kediaman Universiti Malaya (SPKUM), Mantan YDP Sekretariat Nur Al Falah Universiti Malaya,Mantan Penghulu Ketua Pembantu Mahasiswa Untuk Minggu Haluansiswa Universiti Malaya Sesi 2012/2013.Kini Presiden Sekretariat KARISMA Universiti Malaya