
KUALA LUMPUR,10 September - Sejumlah 22,500 Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) diserahkan kepada pelajar Universiti Malaya (UM) pada Isnin yang membolehkan pemilik kad menikmati diskaun antara 10 dan 60 peratus untuk barangan terpilih.
Majlis penyerahan disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2 Julai lepas, KADS1M bertujuan membantu mengurangkan kos sara hidup pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di seluruh negara.
Ismail Sabri berkata KADS1M diwujudkan atas permintaan pelajar ketika mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) di Putrajaya pada November lepas.
"Kerajaan sentiasa mendengar dan memahami pandangan yang diutarakan pelajar, jadi pelajar jangan sesekali menggunakan saluran yang salah jika ingin sampaikan sebarang cadangan," katanya ketika berucap pada majlis itu di sini.
Ismail Sabri menjangkakan proses pengedaran KADS1M kepada semua 1.5 juta pelajar IPT awam dan swasta selesai sebelum Oktober ini.
"UM merupakan universiti kelima menerima KADS1M dan bagi pelajar UM yang baru mendaftar minggu lepas, mereka akan menerima kad itu pada September juga," katanya.
Ismail Sabri berkata setakat ini, 215 syarikat melibatkan 2,363 cawangan di seluruh negara mengambil bahagian dalam program itu.
Tawaran diskaun merangkumi barangan seperti alat tulis, pakaian dan kelengkapan sukan, klinik kesihatan, optometri dan cermin mata, penginapan dan pengangkutan, makanan dan minuman, pusat rawatan atau kecantikan, produk teknologi komunikasi, automotif serta peruncitan.
Sementara itu tinjaun MyMahasiswa mendapati pengagihan KADS1M mendapat respon yang positif daripada pelajar.Siti Nur Fareha, pelajar tahun ketiga Fakulti Sastera Dan Sains Sosial berkata :
 |
| Siti Nur Fareha |
"Pemberian Kad Diskaun ini banyak memberi manfaat kepada mahasiswa yang kebanyakannya menghadapi masalah dari segi kos sara hidup lebih-lebih lagi mereka yang duduk di kawasan bandar"
"Justeru, pemberian kad diskaun ini amat dialu-alukan dan saya berterima kasih kepada pihak MPPK atas insiatif mereka dan pihak kerajaan yang sudi mendengar suara mahasiswa" tambahnya lagi.
 |
| Afiq Asnawi Abu Bakar |
Sementara itu seorang lagi pelajar, Afiq Asnawi Abu Bakar juga daripada fakulti yang sama turut mengulas
"Alhamdulillah, mahasiswa hari ini banyak menerima pelbagai kemudahan dan bantuan daripada pihak kerajaan dan diharap pelbagai kemudahan ini dapat dimanfaatkan oleh seluruh mahasiswa dalam meningkatkan kualiti pembelajaran seterusnya melahirkan modal insan yang cemerlang".
"Terima kasih kepada pihak Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan kerana peka akan isu mahasiswa dan teruskan perjuangan demi menjaga kebajikan mahasiswa.Insyallah,perjuangan ini akan mendapat keberkatan dariNya dan mahasiswa perlu bijak dalam memperjuangkan satu-satu isu" tegasnya.
Tempoh sah kad pelajar ialah sehingga tamat tempoh pengajian pelajar.Maklumat lanjut mengenai KADS1M ini boleh didapati di laman web www.1pengguna.com
Read more…