Mahasiswa : Cabaran Generasi Baru Ke Arah Negara Maju

16:32 |
1. Menjadi sebuah negara maju merupakan impian rakyat malaysia sejak sekian lamanya.Impian ini dibawa oleh pemimpin-pemimpin ulung terdahulu dan hasil usaha mereka inilah yang kita kecapi pada hari ini.

2. Kemajuan masa depan, bukan bererti kita hanya menumpukan perhatian kepada pertumbuhan ekonomi semata-mata tetapi juga kita harus melihat sektor-sektor kesenian, budaya dan kehidupan yang merangkumi sebuah kemajuan lengkap negara. Pemikiran, mentaliti dan gaya mahasiswa hari ini harus berubah! Demi sebuah masa depan.

3. Yang pertamanya adalah pelan pengukuhan ekonomi belia dan mahasiswa yang dilihat sangat rapuh dalam masyarakat hari ini. Fokus mahasiswa pada hari ini, biarpun dari jurusan ekonomi, perniagaan dan perakaunan tidak mempunyai satu keberanian mencuba dan menduga untuk bersaing dalam pasaran ekonomi. Tidak ramai juga mahasiswa yang keluar dari universiti dan cipta ruang pekerjaan buat mengecilkan jurang pengangguran negara. Hakikatnya, mahasiswa hari ini ke universiti dan hanya memikirkan tentang ekonomi diri. Keluar menjadi graduan dan bekerja makan gaji. Bagaimana mungkin dengan mentaliti seperti ini, kita rakyat Malaysia bermimpi untuk menjadi sebuah negara maju. Sepatutnya, di tahap ini mahasiswa harus menjadi penjana utama negara dalam mengarah kepada hala tuju negara. Bergabung dengan institusi belia di luar universiti mampu memberi impak dalam pembangunan ekonomi seterusnya membantu masyarakat dalam kemelut jurang kemiskinan.

4. Menyentuh pula soal budaya, mahasiswa hari ini juga hilang dari fokus asal permasalahan kendiri. Mahasiswa hari ini semakin lari dari fitrah kebudayaan bangsa. Terlalu kebaratan. Soalnya, nilai budaya masyarakat majmuk serta kesantunan yang sekian lama diamalkan turun temurun itu tidak pernah mengganggu urusan permodenan. Tambahan pula ianya menjadi satu unit kawalan sosial semula jadi yang dapat mengawal gejala dan permasalahan sosial yang dahulunya seperti satu dalam setahun. Namun jika kita lihat hari ini, mahasiswa yakni golongan terpelajar menjadi antara penyumbang utama masalah sosial.

5. Dalam dilema pergaulan sosial, mahasiswa dan belia hari ini banyak menghabiskan masa bersosial di alam maya berbanding dengan menghadapi dunia realiti. Hal ini tidak dapat dinafikan. Percaya atau tidak, internet dan laman sosial sudah menjadi satu penyakit baru yang menular dalam masyarakat Malaysia. Bermula dengan mahasiswa, anak muda dan belia hari ini cenderung berinteraksi di alam maya berbanding dunia realiti mengakibatkan wujud jurang persefahaman dengan masyarakat sekeliling. Jika dahulu, mahasiswa dapat berinteraksi penuh dengan rakan-rakan dalam universiti dalam menjayakan projek-projek mega, hari ini perkara itu tidak lagi berlaku. Yang membunuh kreativiti dan kebolehan pelajar ini bukan datang dari AUKU atau HEP. Ianya datang dari keadaan di mana mahasiswa pergi ke kelas, pulang dari kelas duduk di bilik, ke kafe, balik ke bilik menghadap laptop dan bersosial di alam maya. Juga duduk bersama kawan-kawan di kafe dan mula ‘online’ sehinggakan tiada perkara yang boleh dibincangkan sewaktu makan. Inilah permasalahannya. Sedangkan pada masa dahulu, mahasiswa menggigit kerana ilmu dan pengetahuan mereka bercambah dimana-mana sahaja. Asalkan mereka boleh duduk dan berdiskusi tentang mimpi-mimpi rakyat. Mereka menyedari fitrah bahawa mereka di universiti menggalas bukan sahaja harapan ibu bapa, tetapi harapan masyarakat dan negara.

6. Situasi ini sebenarnya menyebabkan mahasiswa malas untuk berfikir selain daripada membunuh ‘softskill’ yang sepatutnya direbut mahasiswa semasa berada di universiti. Jadi, apabila masyarakat luar bertanya kenapa mahasiswa hari ini tidak mampu bergaya dengan baik dalam penampilan dan pertuturan serta teknik-teknik pengurusan yang lemah. Maka, jawapannya adalah pembudayaan masyarakat terutamanya mahasiswa hari ini yang telah lari dan terpesong dari fitrah asal iaitu jati diri mahasiswa serta adat-adat budaya yang banya ditinggalkan.

7. Bayangkanlah jika kita terus melahirkan graduan dalam kualiti ini, adakah menjelang 10 tahun lagi Malaysia akan menjadi sebuah negara yang maju? Dengan mentaliti yang ada pada tahap sekarang ini, adakah penyakit sosial ini akan terkawal?! Tidak,jika kita tidak bertindak hari ini!

8. Terdapat juga golongan mahasiswa yang sentiasa membantah dan sentiasa meminta. Yang sebenarnya terus-terusan mengajar mahasiswa untuk menjadi manja. Meminta segalanya tetapi memberi hasil dan impak yang kurang. Setiap isu yang disentuh pula tidak menyeluruh dan lebih kepada memenangkan ideologi politik. Hal ini juga menjadi antara perkara yang mengarah kepada ketidakstabilan. Menjadi adat dan budaya mahasiswa untuk berpolitik. Namun, perlu mahasiswa ketahui bahawa setiap politik yang dimainkan memberi kesan terhadap generasi muda akan datang. Jangan tinggalkan kehancuran buat mereka. Mahasiswa sepatutnya lebih peka dalam menjawab dan menangani isu. Bukan menyentuh dan membiarkan isu itu berlalu setelah masyarakat menganggap isu tersebut tidak lagi relevan.

9. Golongan mahasiswa TIDAK PEDULI juga menjadi satu permasalahan baru hari ini. Selain kita lihat jurang antara ideologi ini terdapat sekelompok besar mahasiswa yang kiranya akan menjadi lebih besar tidak peduli terhadap isu sama ada isu mahasiswa, masyarakat atau negara. Hal ini juga menjadi satu kebimbangan yang teramat kerana ianya akan melahirkan graduan yang pentingkan diri. Bila mana mereka kembali ke pangkuan masyarakat, mereka mengajar masyarakat untuk menjadi tidak peka dan tidak peduli. Hanya bergraduasi untuk melepas diri sendiri tanpa memikirkan isu persekitaran. Bayangkanlah. Mereka tidak mahu berinteraksi dengan jiran. Mereka tidak peduli permasalahan setempat. Mereka akan menjadi ahli komuniti yang pasif. Seterusnya menjadikan komuniti setempat pasif. Berideologi TIDAK MAHU MEMBANTU. Ikatan ukhwah akan menjadi renggang. Adakah ini gambaran sebuah negara maju? Tidak. Kualiti mentaliti inilah yang perlu kita anjakkan untuk menjadi lebih baik. Dengan mempunyai peluang yang lebih besar berbanding mereka yang tidak dapat ke universiti, mahasiswa sepatutnya menjadi lebih bersyukur dan membantu rakyat. Mahasiswa seharusnya memikirkan jalan terbaik untuk terus menjurus ke arah sebuah pembinaan masyarakat yang kukuh dari segi agama, ilmu, ekonomi dan sosio-budaya tanpa meninggalkan seruan perpaduan, menjaga kebajikan persekitaran dan juga memimpin masyarakat menuju ke arah sebuah negara yang aman, selamat dan maju. Mahasiswa pilih Malaysia.

Biodata Kolumnis : Marwan Kahar,Mahasiswa Tahun Ketiga Universiti Malaya.Pengerusi Sekretariat Presiden-Presiden Kolej Kediaman Universiti Malaya (SPKUM), YDP Sekretariat Nur Al Falah Universiti Malaya
Read more…

Diskaun Penerbangan - Hadiah Hari Raya Buat Mahasiswa

06:58 |
KUALA LUMPUR : Tiga syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines (MAS), MASwings dan Firefly akan menyertai program Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) dan menawarkan diskaun tiket penerbangan kepada pelajar institusi pengajian awam dan swasta (IPT) yang merupakan pemegang KADS1M. 

Pengumuman ini adalah lanjutan daripada hasil pertemuan pemimpin mahasiswa bersama Perdana Menteri di kediaman rasminya di Sri Perdana,Ramadhan lepas dalam satu majlis berbuka puasa.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata MAS dan MASwings akan memberi diskaun 25 peratus daripada harga tiket penerbangan dalam Negara dari 1 September hingga 31 Disember tahun ini, manakala selepas tempoh pelancaran tersebut, diskaun sebanyak 15 peratus daripada harga tiket penerbangan dalam negara akan diberi.
Katanya, pemegang KADS1M juga akan diberi tambahan had muatan bagasi sebanyak 10 kilogram bagi penerbangan dalam negara.

"Di samping itu juga, ibu bapa pelajar IPT akan menikmati diskaun 10 peratus daripada harga tiket penerbangan dalam negara untuk menghadiri majlis induksi dan majlis konvokesyen," kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua pemegang KADS1M juga dapat menyertai program Enrich GRADS Frequent Flyer secara percuma.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata syarikat penerbangan Firefly pula akan menawarkan diskaun 50 peratus daripada harga tiket penerbagan kelas ekonomi dalam negara kepada pemegang KADS1M dan had muatan bagasi percuma sebanyak 20 kilogram bagi penerbangan kelas ekonomi dalam negara.

Pemegang kad juga akan menerima makanan dan minuman percuma semasa penerbangan.
"Firefly telah setuju untuk memberi kesemua diskaun ini selama setahun bermula 7 Ogos tahun ini," katanya.

Siswa, katanya, hanya perlu menunjukkan KADS1M bersama kad pelajar atau kad pengenalan bagi mendapatkan diskaun yang ditawarkan oleh MAS, MASwings dan Firefly.

Beliau berkata, inisiatif kerajaan untuk mendapatkan lebih banyak syarikat untuk menyertai program KADS1M yang dilancarkan 2 Julai lepas ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan bagi membantu mengurangkan kos sara hidup dan bebanan hampir 1.5 juta pelajar IPT awam dan swasta tempatan sepanjang tempoh pembelajaran mereka


Sementara itu Jurucakap Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan,Wan Ahmad Hazman Wan Daud mengeluarkan kenyataan "Ketika Majlis Berbuka puasa mahasiswa bersama YAB PM, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) telah meminta pihak kerajaan menimbangkan agar syarikat penerbangan turut serta memberi diskaun kepada mahasiswa di Malaysia.

Sebentar td, YAB TPM mengumumkan bahawa MAS akan memberikan potongan 25 peratus dan FireFly 50 peratus kepada Mahasiswa dan 10 peratus kepada ibu bapa mulai 1 september - 31 Disember 2012.

Tahniah atas usaha yang dilakukan dan terima kasih atas usaha yang diambil oleh pihak kerajaan demi manfaat golongan mahasiswa.

Terima kasih KERAJAAN atas keprihatinan menjadikan raya kami lebih bermakna. Kami pilih jalan diplomasi bukan jalan emosi..#AspirasiMahasiswa

Pihak MyMahasiswa juga sempat menemuramah Wan Ahmad Hazman melalui satu panggilan telefon bagi mendapatkan respon daripada beliau sendiri dan dimuatnaik dalam video dibawah- editor

Read more…